Sebagai ibu bapa yang prihatin dan mahukan anak-anak berjaya dalam
kehidupan, anda perlulah melabur dalam kesihatan mereka. Berusahalah
untuk memberi makanan yang pelbagai, seimbang dan berkhasiat agar
anak-anak yang sedang bersekolah dapat membesar dan kekal sihat.
Pemilihan dan amalan pengambilan makanan sihat perlu diterapkan di
kalangan kanak-kanak sekolah. Berikut adalah panduan am untuk membantu
anda memilih makanan sihat untuk anak-anak agar mereka dapat makan
secara sihat dan belajar menikmati makanan berkhasiat: Anda juga boleh
bekalkan mereka makanan yang berkhasiat disediakan di rumah. Sekiranya
ada majlis-majlis di sekolah yang perlukan sumbangan makanan, bekalkan
makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan potong yang digaulkan dengan
jus lemon dan sebagainya.
-
Gunakan maklumat yang positif
Beritahu anak-anak bahawa semua makanan boleh memenuhi keperluan
pemakanan yang sihat. Tidak ada makanan yang baik atau tidak baik. Kunci
utama pemakanan sihat ialah pilihan dan pengambilan makanan secara
sederhana. Ajar mereka mengenai pemakanan yang baik dengan cara yang
mudah seperti Yogurt dan susu boleh membantu perkembangan tulang yang
kuat atau lobak merah membantu anda melihat dalam keadaan yang gelap.
-
Tumpukan kepada pemilihan makanan yang kaya dengan nutrien
Sentiasa galakkan anak anda untuk memilih makanan yang kaya dengan
nutrien di kantin sekolah. Ajar mereka untuk sentiasa memilih makanan
seperti:
- Buah-buahan pelbagai warna sebagai snek berbanding gula-gula.
- Sayur-sayuran beraneka warna.
- Makanan yang diperkaya dengan nutrien, bijirin penuh dan yang tinggi serat.
- Minuman bersusu berbanding minuman kordial.
- Hidangan yang kurang berminyak dan bergula.
- Hidangan yang mengandungi produk kekacang seperti tempe dan tauhu selain ayam, daging dan ikan.
-
Tetapkan peraturan makanan keluarga
Kanak-kanak lebih mudah memilih makanan sekiranya mereka tahu
peraturan pemakanan keluarga. Contohnya, setiap ahli keluarga wajib
bersarapan pagi setiap hari, susu ialah minuman pilihan selepas makan
malam atau snek di sekolah perlulah daripada 5 kumpulan makanan dalam
piramid makanan dan yang kurang minyak, garam dan gula.
Tetapkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi apabila makan di luar, seperti memesan air buah-buahan atau air kosong.
-
Jadi contoh yang baik
Kanak-kanak mudah dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan orang yang
rapat dengan mereka. Sebagai ibu bapa, pemilihan makanan yang anda buat
akan mempengaruhi anak-anak. Jika anda memilih makanan yang sihat,
anak-anak juga akan mencontohi anda.
Selain menunjukkan contoh tabiat makan yang sihat, bincang dengan anak-anak tentang Panduan Piramid Makanan dan pelbagai sajian makanan lazat yang boleh dinikmati.
-
Masak bersama
Kanak-kanak lebih teruja dan berminat untuk mengambil makanan sihat
apabila mereka diberi peluang untuk menyediakan makanan. Libatkan mereka
semasa menyediakan hidangan. Benarkan mereka menambah apa yang mereka
gemar dalam makanan mengikut kreativiti mereka. Adakan sesi permainan
masak-memasak bersama kawan-kawan mereka atau pergi ke kelas masakan
bersama mereka.
-
Membeli makanan bersama
Libatkan anak-anak semasa membeli belah atau ajak mereka sama-sama
menanam sayur atau buah di kebun, sekiranya ada. Pilih makanan yang kaya
dengan nutrien. Bantu anak memilih satu atau dua bungkusan makanan snek
kegemaran mereka yang kaya dengan nutrien untuk dibawa ke sekolah.
-
Bincang berkenaan pilihan makanan sihat
Selalulah berbincang dengan anak anda berkenaan pemilihan makanan dan mengapa pemakanan sihat itu penting untuk pembelajaran dan menjadi lebih aktif di sekolah. Sama ada di restoran makanan segera, kantin sekolah atau vending machine, galakkan mereka untuk memilih makanan yang berkhasiat seperti minuman bersusu atau jus buah-buahan berbanding minuman berkarbonat, dan sandwich berbanding keropok kentang.
Jelaskan kepada mereka bahawa anda selalu memilih makanan berkhasiat apabila membeli barangan dapur atau apabila makan di luar.
-
Pastikan makanan berkhasiat mudah diperoleh
Sediakan bekalan makanan berkhasiat di rumah. Ini termasuklah pelbagai buah-buahan seperti pisang, jambu batu, epal dan oren serta sayur-sayuran yang boleh dimakan mentah seperti salad, timun dan tomato (tidak ramai anak-anak yang makan sayur mentah) dan susu rendah lemak atau susu berperisa, keju, yogurt, snek bijirin penuh atau rendah lemak dan biskut bergula.
Ingatkan anak anda bahawa mereka boleh memilih makanan ini jika mereka lapar dan memerlukannya dalam keadaan tergesa-gesa.
-
Jadikan waktu makan sebagai waktu bersama-sama keluarga
Jadikan waktu makan sebagai waktu yang penting untuk semua ahli keluarga. Waktu makan bersama-sama tidak hanya tertumpu pada waktu makan malam, ia boleh juga pada sebarang waktu makan yang sesuai dengan anda.
Makan bersama-sama mampu menggalakkan pemakanan sihat. Libatkan anak semasa merancang dan menyediakan makanan. Ini akan membantu mereka belajar mengenai kepentingan memilih makanan berkhasiat dan makan bersama-sama.
kredit:myhealty
0 comments:
Post a Comment